Friday, 28 March 2008


Siri 1 : Penyelidikan Dalam Bidang Rekreasi Luar

Pengenalan
Rekreasi luar bukanlah disiplin konvensional dalam bidang akademik - dalam erti kata bukan cabang asas seperti Biologi, Matematik dan Sosiologi. Bidang ini lebih merupakan bidang aplikasi (applied field) yang fokus kepada isu dan masalah yang menarik segmen yang luas dalam masyarakat.

Walaupun penyelidikan dalam bidang rekreasi luar boleh dilihat lebih dari 50 tahun yang lampau (Meinecke 1928; Bates 1935), tumpuan penyelidikan dalam bidang ini hanya aktif selepas Perang Dunia ke-2 (Lundberg et al 1934). Ini berkadar langsung dengan perkembangan ekonomi, pengangkutan, masa senggang dan perkembangan sosial lain yang membantu peningkatan penggunaan kawasan rekreasi.

Difahamkan bahawa permulaan penyelidikan yang serius dalam bidang sains sosial berkaitan rekreasi luar berlaku dengan adanya laporan Outdoor Recreation Resource Review Commision(ORRRC). ORRRC dibentuk di bawah Jawatankuasa Khas Presiden pada 1958 di Amerika untuk membantu kerajaan Amerika pada masa itu dengan laporan Outdoor Recreation in America pada 1962 meliputi 29 kajian khas.

Penyelidikan awal dalam bidang ini kemudiannya banyak bertumpu kepada kajian biologikal dan ekologikal kerana banyak pengurus rekreasi luar telah dilatih secara professional dalam disiplin biologi (Lime 1972a, Hendee and Stankey 1973). Perkembangan kepada segmen lain bermula rancak selepas tahun 60-an (mungkin didorong oleh karya yang menggegar Dunia oleh Racheal Carson - Silent Spring 1962) contohnya Sosiologi (Catton 1971, Hendee 1971), Ekonomi (Clawson and Knetsch 1963), Psikologi (Driver 1972), Geografi (Mitchell 1969) dan pendekatan multi disiplin oleh Lucas (1966).

Dalam bidang sosial sains, kajian awal lebih bersifat deskriptif yang berfokus kepada karakteristik pengguna. Meyersohn (1969) mengkritik laporan ORRRC sebagai terlalu umum serta kurang asas teori dan konsep. Walau bagaimanapun, fenomena ini dikatakan biasa bagi semua bidang yang baru mula berkembang. Selepas itu, penyelidikan yang lebih banyak dan lebih dalam mula digiatkan sehingga kini.

Sebagai penggiat dalam bidang ini, sama ada mahasiswa atau pensyarah, bahkan sesiapa juga yang berminat, bidang ini di Malaysia masih mempunyai perspektif yang luas untuk dikembangkan dan diberi fokus. Dalam realiti Malaysia menuju sebuah negara kelas pertama, sudah tentu masa depan Malaysia akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan serupa berkait langsung dan tidak langsung dalam bidang ini.

Berilah perhatian, tingkatkan komitmen dan daya juang untuk kekal menyumbang melalui rekreasi luar di Malaysia.

Disediakan oleh :

Noor Amin bin Ahmad GS 18139
Master Sains (Pengurusan Taman dan Rekreasi)
myreccers(at)yahoo(dot)com

* Terjemahan bebas dengan penambahan dan pengurangan tertentu berdasarkan pembacaan bukuStudies in Outdoor Recreation. Sebarang maklum balas berbentuk kritikan, pembetulan boleh disampaikan di ruang komen.